suria

Puteri Umno Giatkan Program Kebersihan Bantu Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR: Puteri Umno akan mempergiatkan lagi program berbentuk kebersihan terutamanya di negeri-negeri dilanda banjir memandangkan masih ramai memandang ringan berhubung perkara tersebut.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, program hasil kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah itu dilihat berupaya meningkatkan kesedaran mangsa banjir sekali gus mengelakkan mereka dari mudah dijangkiti penyakit.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, selalunya usaha membantu mangsa banjir lebih tertumpu kepada usaha membawa mereka ke pusat pemindahan serta bantuan-bantuan lain semasa banjir... tetapi kalau berkaitan dengan penjagaan kebersihan selepas banjir ramai yang ambil mudah walhal ketika itu pelbagai penyakit boleh menyerang.

"Disebabkan itu, kita (Puteri Umno) dan kakitangan pejabat kesihatan akan menganjurkan program seperti gotong-royong, meletakkan ubat jentik-jentik dan menganggap mereka seperti rakan untuk berkongsi maklumat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Ahad.

Selain itu, beliau turut menyeru lebih ramai anggota Puteri Umno tampil ke depan membantu mangsa-mangsa banjir di negeri yang terjejas.

Katanya, semua peringkat bahagian Puteri Umno telah cuba sebaik mungkin membantu mangsa banjir di mana bantuan seperti susu bayi, selimut dan barang-barang makanan telah diagihkan kepada mereka.

Sebelum ini, dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memerlukan lebih ramai sukarelawan dan anggota badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mangsa banjir di negeri yang terjejas. - BERNAMA

Artikel Lain