suria

MIC Selaras Pusat Khidmat Pada Setiap Ahad

KUALA LUMPUR: Parti MIC akan menyelaraskan fungsi pusat khidmat di kesemua peringkat negeri dan bahagian pada setiap Ahad dari 10 pagi hingga 1 tengah hari bagi memudahkan masyarakat India menyuarakan masalah mereka.

Presiden MIC, Datuk G. Palanivel berkata, penyelarasan itu dilakukan kerana waktu operasi di antara peringkat negeri dan bahagian kini berbeza-beza terutamanya di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Johor dan Pahang.

Katanya, usaha penyelarasan itu dijangka selesai sebelum April ini.

"Pusat khidmat ini akan mengambil pelbagai jenis aduan dan masalah rakyat... ada di kalangan mereka mempunyai masalah pendapatan, masalah perumahan masalah bil elektrik, masalah kesihatan dan lain-lain lagi," katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat khidmat parti di ibu pejabat MIC, Ahad.

Katanya, pusat itu akan memberi fokus terhadap kebajikan dan kesihatan masyarakat serta masalah penempatan kerja.

Palanivel berkata, lebih banyak sukarelawan dari parti itu akan ditempatkan di kesemua pusat khidmat berkenaan bagi memudahkan masyarakat India tampil ke hadapan menyuarakan masalah mereka.

Katanya, parti itu akan bekerja dari peringkat akar umbi menyelesaikan masalah masyarakat India di mana semua data tersebut akan dimasukkan dalam sistem komputer bagi memudahkan proses rujukan semula.

"Pada hari tiada orang yang datang mengemukakan masalah, itu adalah hari komuniti kami yang berjaya, itu adalah hari yang kami fikir (pusat khidmat) bahagian dan negeri telah menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Beliau juga berkata, penyelarasan pusat ini tidak ada sebarang kaitan dengan pilihan raya umum ke-13. - BERNAMA

Artikel Lain