suria

Mayat Warga Emas Ditemui Terapung Di Pantai Port Dickson

PORT DICKSON: Mayat seorang wanita warga emas ditemui terapung di pantai Batu 1, Jalan Pantai dekat sini pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Baljeet Singh berkata mayat R. Nagammah, 69, ditemui pada kira-kira pukul 7.40 pagi oleh orang ramai yang kebetulan pergi ke tempat kejadian.

"Mayat mangsa yang terapung di dalam air itu dibawa naik ke darat dengan bantuan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang turut dipanggil ke tempat kejadian," katanya di sini.

Katanya siasatan awal mendapati, polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan wanita itu.

Katanya mayat wanita yang tinggal di Taman Pantai Emas di sini iaitu tidak jauh dari lokasi kejadian, dicam oleh ahli keluarganya.

Baljeet berkata polis juga masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui bagaimana warga emas itu boleh pergi ke pantai sebelum dia ditemui lemas.

"Setakat ini, pihak polis mengklasifikasikan kes kematian wanita berkenaan sebagai mati mengejut," katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain