suria

Mangsa Lemas Terakhir Di Sungai Perak Ditemui

IPOH: Mangsa lemas terakhir dalam kejadian di Sungai Perak petang semalam, Mohamad Abdul Aaza Ibrahim, 10, ditemui kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Ghaffar Muhammad berkata mayat kanak-kanak lelaki itu ditemui terapung pada pukul 12.15 tengah hari oleh nelayan yang kemudian melaporkannya kepada polis.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kangsa untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Ghaffar berkata dalam kejadian semalam, tiga kanak-kanak bersama keluarga mereka mandi di sungai yang terletak kira kira 400 meter dari rumah mereka di Kampung Pauh Pulai, Ara Panjang, Manong.

Semasa ketiga-tiga kanak-kanak itu sedang mandi, tiba-tiba mereka dibawa arus deras dan seorang daripada mereka, Suhairi Nizam Baharuddin, 12 berjaya diselamatkan tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalalan ke Hospital Kuala Kangsar, katanya.

Beliau berkata mayat seorang lagi mangsa, Mohamad Imran Rosli, 10, ditemui terapung pada pukul 7.10 pagi tadi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketiga-tiga mayat tersebut telah dituntut oleh keluarga masing-masing dan telah dikebumikan di kampung mereka hari ini, katanya.-BERNAMA

Artikel Lain