suria

Lelaki Hampir Putus Tangan Selepas Ditetak Semasa Dilarikan

LUMUT: Seorang lelaki dari Melaka yang sedang bercuti sempena Tahun Baru Cina di Ayer Tawar dekat sini, hampir putus kedua-dua belah tangannya apabila ditetak sekumpulan lelaki semasa dia dilarikan dalam sebuah kereta, pada Ahad.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 12 tengah hari semasa lelaki berumur lingkungan 50-an itu sedang menunggu isterinya membeli-belah, apabila sekumpulan lelaki tiba-tiba muncul dan terus mengheretnya ke dalam sebuah kereta.

Beliau berkata dalam pergelutan semasa kereta itu bergerak menghala arah laluan Lumut-Ipoh, kedua-dua belah tangan lelaki itu hampir putus akibat ditetak dengan parang selepas dia diugut menyerahkan sejumlah wang oleh penculiknya.

Bercakap kepada Bernama di sini, pada Ahad katanya lelaki itu kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Banjar, Beruas dekat sini sebelum ditemui orang awam yang terus menghubungi polis.

Menurut polis lelaki yang mengalami kecederaan parah itu kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) dekat sini sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada pukul 3 petang menerusi penerbangan ihsan menggunakan helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.

Beliau berkata HSM terpaksa menggunakan khidmat helikopter TLDM bagi memindahkan lelaki itu dengan segera supaya kedua-dua tangannya dapat disambung semula menerusi pembedahan khas di PPUM.

"Polis sedang berusaha mengesan suspek yang dipercayai lebih dua orang yang terlibat dalam kejadian itu. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain