suria

Laluan Dari Utara, Selatan, Lebuhraya Plus Sesak

KUALA LUMPUR: Keadaan lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) daripada arah Utara menghala Selatan dan arah Selatan ke Kuala Lumpur pada Ahad mengalami kesesakan teruk berikutan ribuan warga kota mula kembali ke ibu kota selepas cuti panjang Tahun Baru Cina.

Jurucakap Plusline Juhaimy Harun berkata keadaan trafik adalah perlahan di kawasan Plaza Tol Sungai Dua dan Plaza Tol Juru di Pulau Pinang, Plaza Tol Simpang Pulai hingga Plaza Tol Slim River di Perak.

"Manakala bagi aliran Selatan ke Kuala Lumpur, laluan yang dikesan mengalami kesesakan adalah di kawasan Plaza Tol Pedas Linggi hingga ke kawasan rehat dan rawat Seremban dan laluan Nilai ke Seremban," katanya.

Turut mengalami kesesakan ialah laluan dari Plaza Tol Machap, Melaka ke Plaza Tol Sedenak yang menghala ke Johor Baharu, katanya.

Beliau berkata kesesakan yang berlaku sejak pukul 10 pagi itu adalah disebabkan pengguna jalan raya keluar serentak dan keadaan tersebut dijangka berterusan sehingga malam ini.

Bagaimanapun, katanya polis dengan bantuan PLUSRONDA membuka laluan kecemasan di KM291 hingga KM294 kawasan Simpang Pulai-Gopeng bagi mengurangkan kesesakan.

Selain itu katanya PLUSRONDA juga meningkatkan kekuatan anggotanya di sepanjang lebuh raya sebagai persiapan sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar bersabar dan lebih berhati-hati serta berhenti rehat bagi menjamin pemanduan yang lebih selamat dan lancar.-BERNAMA

Artikel Lain