suria

Kementerian Pelancongan Sasar 25 Juta Pelancong Asing Tahun Ini

RAUB: Kementerian Pelancongan mensasarkan kedatangan pelancong asing ke negara ini meningkat kepada 25 juta orang tahun ini, berbanding 24 juta tahun lepas, dengan anggaran pendapatan pelancongan sebanyak RM60 bilion.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, bagi mencapai sasaran itu, kementeriannya akan terus melaksanakan usaha-usaha bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke Malaysia.

Katanya, antara usaha tersebut adalah terus mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan dalam dan luar negara supaya menyediakan lebih banyak penerbangan terus ke bandar-bandar besar di dalam negara.

"Sasaran mungkin kita boleh capai dengan adanya lebih banyak lagi penerbangan dari luar negara ke bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Pulau Pinang atau Melaka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Riang Ria Tahun Baru Cina Kementerian Pelancongan di Dataran Raub di sini, malam Sabtu.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Raub berharap pada tahun ini kedatangan pelancong asing lebih tinggi pada tahun lepas di mana sasaran ditumpukan kepada mereka yang tinggal sehingga 10 hari, sekaligus berbelanja tinggi di dalam negara.

Katanya, sasaran itu adalah pelancong dari Rusia, India, China, Australia, New Zealand, United Kingdom, Belgium, Belanda serta negara Timur Tengah.

"Mereka ini dari negara-negara yang jauh, jadi ada keperluan untuk kita sediakan kemudahan untuk mereka jadi kita akan bincang dengan syarikat penerbangan Air Asia, MAS, Firefly serta syarikat penerbangan luar untuk sediakan penerbangan terus dari negara asal pelancong ke Malaysia," katanya.

Mengenai krisis yang berlaku di Mesir pada masa ini, beliau berkata perkara itu tidak memberi kesan kepada pelancongan negara memandangkan jumlah kedatangan pelancong dari negara itu ke Malaysia setiap tahun, adalah kecil. - BERNAMA

Artikel Lain