suria

Gara-Gara Cop Visa Memasuki Gaza, Lima Warga Malaysia Ditahan

KAHERAH: Naib Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia dan adik bekas Ketua Polis Negara adalah antara lima warga Malaysia yang mengalami situasi mencemaskan dua hari lepas apabila ditahan selama lima jam oleh anggota pasukan keselamatan Mesir yang bersenjatakan senapang AK-47.

Penahanan itu berlarutan sekian lama gara-gara ada pasport milik dua orang daripada mereka mempunyai cop visa memasuki Gaza, Palestin.

Akibat marah, seorang anggota keselamatan lantas meludah pasport milik bendahari Kelab Putra 1Malalysia Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Datuk Bahari Abu Mansor dan Mohd Taha Hassan, adik kepada Tan Sri Musa Hassan, yang mengikuti rombongan Kelab Putra 1Malaysia ditahan kira-kira 20 anggota keselamatan ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah ke Dewan Malaysia Abbasiah di sini untuk menghantar bekalan makanan.

Kejadian itu berlaku pada 7.00 malam waktu tempatan (1.00 pagi waktu Malaysia) di Tahrir Square, pada hari yang sama 12 wakil media, empat anggota Kelab Putra 1Malaysia dan seorang pegawai imigresen Malaysia ditahan sekumpulan pemuda di sekatan jalan raya.

Bahari berkata beliau bersama empat yang lain ditahan pihak keselamatan Mesir setelah melalui tiga sekatan jalan.

"Saya bersama dua anggota Kelab Putra 1Malaysia dan dua pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir termasuk Mohd Taha ditahan setelah melalui sekatan jalan raya ketiga.

"Pada mulanya, tidak ada masalah melalui sekatan jalan raya di situ kerana Dewan Malaysia Abbasiah telah mengeluarkan surat menyatakan ini merupakan misi rasmi, namun kami akhirnya ditahan di sekatan ketiga oleh mereka yang berpakaian polis dan tentera," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Bahari berkata pihak keselamatan itu menyoal pelbagai soalan kepada mereka sebelum dibawa ke balai polis berhampiran. Menurutnya pihak keselamatan itu memeriksa pasport mereka dan mendapati beliau pernah pergi sebanyak dua kali ke Gaza, Palestin.

"Mereka bertanya kenapa saya pergi ke Palestin, dan saya kata adalah untuk misi kemanusiaan...mereka berusaha mencari bukti lain, namun mereka akhirnya melepaskan kami setelah lima jam ditahan," katanya.

Abdul Mutalif berkata pasportnya telah diludah oleh pihak keselamatan Mesir ketika melihat pasportnya ada cop masuk ke Gaza. Sementara itu, Ketua Unit Media Kelab Putra 1Malaysia Mohd Khairul Rizzuan Abu Hassan berkata beliau diacukan dengan senapang jenis AK-47 ketika itu.

"Saya cukup takut...namun saya tidak mengambil apa-apa tindakan untuk melawan. Saya bersyukur akhirnya saya dibebaskan," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain