suria

Dua Warga Myanmar Ditemui Mati Dengan Kesan Tetakan

SERI KEMBANGAN: Dua lelaki warga Myanmar ditemui mati dengan kesan tetakan di leher dan dada, dalam sebuah unit penginapan di tingkat tiga sebuah asrama di Taman Universiti Indah dekat sini pada Ahad.

Mayat kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an itu ditemui orang awam yang lalu lalang yang curiga melihat kesan darah di tingkat bawah bangunan, yang terus menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Serdang Supritendan Abdul Razak Majid berkata siasatan awal menunjukan berlaku pergaduhan di unit itu, yang didiami oleh sekumpulan pekerja kilang berhampiran lokasi kejadian, antara pukul 3 dan 6 pagi.

Beliau berkata lelaki pertama yang hanya memakai kain pelekat ditemui terbaring di ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah, dengan lebih 10 tetakan di bahagian dada.

"Seorang lagi ditemui lengkap berpakaian dalam sebuah bilik dengan kesan di sembelih di bahagian leher dipercayai dengan pisau pemotong daging. Selain itu, terdapat kira-kira 12 tetakan di dadanya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Abdul Razak berkata siasatan polis mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi kejadian dan suspek dipercayai turut cedera berikutan kesan darah di sepanjang laluan tangga tingkat tiga hingga ke bawah.

Beliau berkata polis menahan 30 warga asing termasuk seorang wanita yang tinggal di asrama berkenaan, selain berusaha keras untuk mengesan dua lagi pekerja yang merupakan rakan sekerja kedua-dua lelaki Myanmar itu, bagi membantu siasatan. "Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain