suria

Dua Termasuk Seorang Pelajar IPTA Ditahan Edar Dadah

BESUT: Dua lelaki termasuk seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) dipercayai pengedar dadah ditahan dalam satu serbuan di Kampung Beris Cawat, Kuala Besut Khamis lepas. Ketua Polis Daerah Supritendant Kamaruddin Mohd Zakaria berkata dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Terengganu dan IPD Besut kira-kira pukul 9 malam itu, polis turut menemui 990 biji pil kuda.

"Semasa serbuan dijalankan suspek yang berumur 19 dan rakannya yang bekerja sebagai nelayan berusia 23 tahun dipercayai sedang menunggu pelanggan.

"Mereka ketika itu berada di bahagian beranda rumahnya dan pil-pil kuda yang dirampas berada dalam lima bungkusan lipatan surat khabar yang disimpan berdekatan dengan mereka," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Katanya, dalam operasi yang diketuai Cif Inspektor Rumaizur Rahman Ab Sattar itu, polis turut merampas dan menyita wang tunai berjumlah RM30,678, sebuah kereta Wira bernilai RM15,000 dan dua buah motosikal jenis Honda EX5 serta Yamaha 125Z yang masing-masing bernilai RM3,000.

Katanya, semua barang-barang tersebut telah disita mengikut peruntukan seksyen Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Hak dan Harta) 1988.

Siasatan awal mendapati, pelajar IPTA itu mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 151 (A) ADB 1952 serta dan Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun mulai Jun 2009.

Kamaruddin berkata kedua suspek kini ditahan reman selama seminggu sejak Khamis lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan digantung sampai mati. - BERNAMA

Artikel Lain