suria

ADUN BN Sarawak Puas Hati Pertemuan Dengan Najib

MIRI: Beberapa orang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)Barisan Nasional Sarawak berpuashati dengan pertemuan mereka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad. ADUN Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata pertemuan itu di sebuah hotel terkemuka di sini memberi semangat baru kepada beliau untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat di kawasannya. "Perdana Menteri telah menasihati saya agar terus rajin berkhidmat dengan rakyat kawasan saya," katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan itu. ADUN Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi menyifatkan Najib telah memberi perhatian serius kepada setiap masalah yang dibangkitkan.

"Selepas bertanya soalan-soalan berkenaan masalah-masalah pembangunan di tempat saya, beliau mendengar dan memberi perhatian serius terhadap setiap jawapan saya," katanya. Sementara itu, ADUN Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata beliau merasa lega dapat menyampaikan terus masalah rakyat kawasan beliau kepada Najib.

"Selain mendengar masalah rakyat, dia memberi nasihat dan perangsang untuk saya berkhidmat dengan lebih baik lagi," katanya.

ADUN Pelagus, Larry Sng pula melihat pertemuannya dengan Perdana Menteri sebagai peluang untuk berterus-terang tentang permasalahan di kawasan beliau.

"Saya merasa tiada apa-apa yang perlu disembunyikan semasa bertemu dengan beliau. Saya berpuas hati," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain