suria

Tujuh Ditahan Sertai Demonstrasi Di Ibu Kota Dibebaskan

KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki yang ditahan kerana menimbulkan kekacauan pada perhimpunan haram di pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat, pada Jumaat telah dibebaskan.

Polis Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata kesemua mereka dibebaskan selepas proses dokumentasi selesai.

"Kesemua mereka sebelum ini ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967," kata kenyataan itu, Sabtu.

Semalam Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata mereka ditahan kerana bertindak agresif dengan membaling botol dan pelbagai lagi benda keras serta tidak mahu bersurai apabila diminta.

Hampir 2,000 orang menyertai perhimpunan haram tersebut yang bertujuan menyerahkan memorandum membantah campur tangan Amerika Syarikat dalam urusan kerajaan Mesir kepada kedutaan negara itu.

Mereka mula berhimpun kira-kira 2.30 petang itu namun berjaya disuraikan pihak polis sejam kemudian.-BERNAMA

Artikel Lain