suria

Phnom Penh Melakukan Pencerobohan - Bangkok

BANGKOK: Serangan yang dilakukan oleh tentera Kemboja semalam yang menyebabkan seorang orang awam Thailand terbunuh dan lima anggota tentera Thailand cedera, merupakan satu tindakan pencerobohan, kata Bangkok pada Sabtu.

Bangkok berkata serangan itu merupakan satu tindakan pencerobohan dan dengan jelas mencabul kedaulatan dan integriti kawasan Thailand.

"Anggota tentera tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan hak mereka untuk mempertahankan diri sepertimana termaktub dalam undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini.

Menurut kenyataan itu, tentera Kemboja telah melepaskan tembakan ke atas pangkalan tentera Thailand di Phu Ma Khua yang terletak dalam kawasan Thailand, menggunakan mortar, bom tangan yang dilancarkan melalui roket dan raifal anjalan pada 3.20 petang semalam.

Sejam kemudian, tentera Kemboja juga melepaskan tembakan dari kawasan Kuil Preah Vihear, Kemboja, ke atas pangkalan tentera Thailand di Pha Mor I Dang di kawasan Thailand.

Dalam jarak waktu antara dua insiden itu, beberapa tembakan meriam turut dilepaskan oleh tentera Kemboja ke atas kampung Phum Srol di Si Sa Ket, Thailand yang terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan sempadan.

"Sungguhpun Thailand mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian kawasan sempadan secara aman, ia berhak untuk mempertahankan kedaulatannya," menurut kenyataan itu.

Pertempuran semalam dikatakan lebih ganas kerana menyaksikan penggunaan artileri yang telah terkena orang awam dan rumah mereka walaupun pertempuran tentera yang dilaporkan pada 2008 dan 2009 di kawasan yang sama mengakibatkan kematian lebih 10 anggota tentera di kedua-dua belah pihak.

Pertempuran itu berlaku di kawasan yang dipertikaikan seluas 4.6 kilometer persegi yang dituntut oleh kedua-dua negara dan dekat Kuil Hindu Preah Vihear yang dibina pada abad ke-11 yang terletak dalam kawasan Kemboja dan disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2008 oleh Unesco.

Ia berlaku beberapa jam selepas Menteri Luar kedua-dua negara mengadakan perjumpaan di Sem Reap, Kemboja, semasa Mesyuarat Suruhanjaya Bersama pagi semalam dan berikrar bagi penyelesaian secara aman terhadap pertikaian mengenai sempadan. - BERNAMA

Artikel Lain