suria

Peruntukan RM20 Juta Permulaan Bangunkan Kampung Baru

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan peruntukan kewangan sebanyak RM20 juta sebagai permulaan memajukan Kampung Baru.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan tersebut akan disalurkan untuk projek menaik taraf dan membaik pulih Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Katanya, Masjid Jamek Kampung Baru yang mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri itu akan dijadikan ikon kemajuan Kampung Baru di samping dapat menampung lebih ramai jemaah.

"Saya mahu masjid ini jadi permulaan dalam pembangunan Kampung Baru.

"Masjid ini sebagai lambang Kampung Baru moden, berdaya maju dan canggih," katanya ketika berucap melancarkan Program Ziarah Masjid dan Kelab Belia 1Masjid Kampung Baru, di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru, pada Sabtu.

Program Ziarah Masjid melibatkan aktiviti dakwah, keilmuan, kelas agama, kelas tuisyen yang diadakan di masjid yang secara tidak langsung dapat membina insan berkualiti dan membentuk akhlak murni.

"Langkah mengadakan program dan kelab seperti ini merupakan langkah signifikan dengan menjadikan masjid sebagai paksi untuk menarik minat belia beribadat dan menjalankan aktiviti," katanya.

Najib berkata, usaha ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memodenkan Kampung Baru dan memberi nilai ekonomi yang tinggi khususnya kepada penghuni.

Masjid itu nanti dijangka dapat menampung kapasiti 5,000 jemaah sekali gus menjadi mercu tanda perkembangan syiar Islam yang progresif.

Dalam lawatan kali kedua beliau ke Kampung Baru ini, Najib turut menegaskan status penduduk Kampung Baru yang akan dikekalkan.

Kali pertama beliau membuat lawatan ke Kampung Baru pada 6 Februari 2010.

"Itu syarat pembangunan di Kampung Baru. Orang Kampung Baru tak perlu pindah.

"Kita tukar status tanah yang ada kepada nilai ekonomi yang lebih tinggi. Dengan ini nilai ekonomi akan melambung tinggi," katanya.

Najib berkata, kerajaan sentiasa memikirkan usaha yang boleh memberi manfaat kepada kotaraya Kuala Lumpur tetapi juga penghuninya.

Jelasnya, usaha membangunkan Kampung Baru tidak ada kaitan dengan politik.

"Jangan ada pihak ketiga yang kata kita nak rampas Kampung Baru dan nak dapat keuntungan. Kita tak ada 'udang di sebalik batu'," katanya.

Menurut Najib, kerajaan sentiasa komited dan telus dalam usaha ini justeru sebuah perbadanan yang dinamakan Perbadanan Kemajuan Kampung Baru telah ditubuhkan.

Selain itu kerajaan turut akan bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH).

Najib yang meluangkan masa selama empat jam bersama penduduk Kampung Baru ini sempat menyerahkan bubur lambuk kepada golongan kurang upaya (OKU) dan menyempurnakan solat Asar secara berjemaah.

Beliau juga sempat mengadakan upacara pecah tanah untuk projek komersial Mercu Zikay.

Artikel Lain