suria

Pelajar Malaysia Harap Dapat Teruskan Pengajian Di Mesir

SEPANG: Rusuhan yang berlaku di Mesir tidak menjadi penghalang kepada dua pelajar Malaysia yang menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Alexandria untuk meneruskan pengajian.

Alyaa Eleena Kamarul Izham, 19, dan rakannya Siti Najwa Khamsul, 19, pelajar tahun pertama jurusan perubatan itu berkongsi perasaan yang sama iaitu mereka sayangkan universiti itu dan akan meneruskan pembelajaran selepas keadaan beransur pulih.

Menceritakan pengalamannya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menerusi Etihad Airways di sini hari ini, Alyaa Eleena berkata pengalaman melihat pergaduhan atau rusuhan adalah sesuatu yang 'adventure'.

"Memang banyak pun gaduh-gaduh depan rumah guna parang adalah perkara biasa.Apabila nampak orang dipijak kepala dan berdarah di depan rumah kita juga perkara biasa sejak mereka mula untuk turunkan (Presiden) Hosni Mubarak," katanya yang terpaksa membeli tiket penerbangan sehala ke Malaysia yang berharga RM3,000 berbanding sebelum ini RM1,800 untuk pergi dan balik.

Katanya ketika rusuhan itu berlaku beliau, Siti Najwa dan seorang lagi rakan terpaksa tinggal di rumah pelajar Malaysia yang tidak pernah dikenali sebelum ini dari Universiti Al-Azhar untuk menyelamatkan diri.

"Nasib baik mereka beri tumpang. Dalam rumah itu ada lima orang. Kami masuk tiga orang dan kemudian ada lima lagi rakan mereka pun nak tumpang menjadikan 13 orang berada di rumah itu yang sepatutnya hanya boleh memuatkan empat orang sahaja," katanya yang terperangkap di rumah itu selama empat hari.

Siti Najwa pula berkata meskipun matanya pedih dan hampir tidak dapat bernafas ketika gas pemedih mata disembur di ruang udara, ia tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian.

"Orang di sana kata mereka tidak akan cederakan orang asing. Mereka cuma nak lawan Hosni Mubarak," katanya yang akan memanfaatkan masa cuti ini untuk mengulangkaji pelajaran di rumah.

Sementara itu Putra Tazreenudin Tajudin, 24, pelajar tahun pertama Ijazah Al-Quran dan Qirati dari Universiti Al-Azhar berharap rusuhan itu akan berakhir secepat mungkin supaya beliau dapat mengambil peperiksaan yang dijadualkan bermula Jun depan.

Sebaliknya jika rusuhan itu berterusan, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyambung pengajiannya di universiti tempatan di Malaysia supaya keselamatannya lebih terjamin.

Meskipun selamat tiba di tanah air, Putra Tazreenudin berharap kesemua barangan penting di rumah sewanya di Dauran Shoubra, Kaherah akan berada dalam keadaan baik.

Beliau berharap tuan rumah yang disewanya bersama enam lagi rakan akan menyimpan barangan milik mereka terutamanya buku-buku pengajian dan komputer yang terpaksa ditinggalkan di situ.

"Barang-barang itu sekarang tinggal. Selain itu ada kawan serumah yang membeli kitab dan buku pengajian dianggarkan berharga RM2,000. Kalau tuan rumah itu baik, dia simpanlah. Kalau lepas dua tiga bulan tak balik nasiblah," katanya.

Ketika menaiki teksi untuk ke Lapangan Terbang Kaherah bersama pelajar lain untuk menyelamatkan diri, beliau berkata kad memori telefon dan kamera mereka dirampas rakyat Mesir menyebabkan kebanyakan pelajar menangis kerana terkejut.

Beliau yang menaiki Emirates Airlines dari Abu Dhabi terpaksa membeli harga tiket yang agak mahal iaitu RM2,300 sehala berbanding RM2,400 untuk pergi dan balik sebelum ini.-BERNAMA

Artikel Lain