suria

Najib Dan Isteri Dijangka Memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Ahad

MIRI: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2011 di Dataran Kipas, sini malam Ahad.

Kira-kira 20,000 pengunjung di sekitar bandar raya Miri dijangka menghadiri majlis ini yang akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Puan Sri Ragad Waleed Alkurdi Taib bersama menteri-menteri kabinet pusat dan negeri dijangka hadir bersama.

Antara program yang disusun termasuk tarian tradisional pelbagai kaum etnik dan persembahan khas dari artis tempatan.

Sebelum bermulanya majlis itu, Najib dan isteri dijangka membuat kunjungan mesra ke kedai-kedai di Jalan Yu Seng Utara di sini.

Selepas majlis pelancaran, Najib dijangka bersantai di sebuah kedai kopi Cina yang berdekatan sebelum bertolak balik ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bersama Timbalannya, Datuk Joseph Salang dan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz menyaksikan raptai penuh di sini malam tadi.

Rais menjemput penduduk di situ untuk sama-sama memeriahkan majlis rumah terbuka itu yang akan bermula pada 4 petang manakala pelancaran bermula pada 7.30 malam.

Beliau berkata majlis itu bertujuan memupuk semangat perpaduan dan persefahaman di kalangan masyarakat pelbagai kaum dan menjana semangat 1Malaysia.

"Penduduk di sekitar bandar raya Miri dijemput menghadiri majlis terbuka Tahun Baru Cina ini dan menghayati semangat 1Malaysia," katanya selepas menyaksikan raptai penuh, Sabtu.-BERNAMA

Artikel Lain