suria

Kumpulan Pertama Pelajar Sabah Di Mesir Dijangka Tiba Di KLIA Pagi Ahad

KOTA KINABALU: Kumpulan pertama 46 pelajar Sabah di Mesir dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 8.40 pagi Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman berkata penerbangan pulang yang menggunakan perkhidmatan komersial itu diurus oleh kerajaan negeri dengan bantuan kedutaan Malaysia di Kaherah.

Katanya daripada jumlah itu, dua pelajar akan berlepas dari KLIA ke Kota Kinabalu pada jam 12 tengah hari pada yang sama dan dijangka tiba di Kota Kinabalu pada jam 2.35 petang.

Seramai enam orang pelajar akan berlepas dari KLIA pada jam 3.15 petang dengan penerbangan MH 2618 dan tiba di Kota Kinabalu pada jam 5.50 petang manakala 38 orang lagi akan berlepas dari KLIA jam 3.30 petang dengan penerbangan MH068, katanya menerusi satu kenyataan, Sabtu.

Sukarti berkata pelajar lain dari Sabah yang masih berada di Mesir akan di bawa pulang ke Malaysia secara berperingkat-peringkat.

"Pihak urusetia sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia di Mesir untuk mendapatkan maklumat tentang pelajar-pelajar ini dari masa ke masa.

"Pegawai Tadbir Yayasan Sabah yang ditugaskan di asrama Yayasan Sabah di Kaherah banyak membantu dalam menyelia semua urusan berkaitan pelajar-pelajar dan sentiasa memberi maklumat tentang keadaan mereka di sana," katanya.

Sukarti berkata jumlah pelajar Sabah dan ahli keluarga yang berada di Mesir ialah seramai 311 orang dengan 280 orang berada di Kaherah dan 31 orang di Iskandariah.

Katanya pihak ibu bapa dan keluarga pelajar akan dimaklumkan dari masa ke masa mengenai maklumat penerbangan balik para pelajar.-BERNAMA

Artikel Lain