suria

Enam Buah Rumah Hangus Dalam Kebakaran

GEORGE TOWN: Enam buah rumah dua tingkat yang berstrukturkan batu dan kayu di Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini hangus dalam kebakaran awal pagi Sabtu.

Pegawai Bomba Kanan 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Alyas Said berkata jabatan itu menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 4.10 pagi dan api merebak dengan cepat kerana kedudukan rumah yang rapat.

Sebanyak empat jentera dengan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak yang bergegas ke tempat kejadian berjaya mengawal api dalam masa 10 minit, katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

"Tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api yang sedang marak daripada terus merebak ke rumah lain yang berada di sekitar kawasan berhampiran yang kebanyakannya rumah berstrukturkan batu dan kayu," katanya.

Katanya ketika kejadian, seramai 15 penghuni rumah berkenaan sedang nyenyak tidur, bagaimanapun mereka sempat menyelamatkan diri berikutan jeritan orang ramai.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain