suria

Tiga Pemandu Mabuk Antara Yang Ditahan Dalam Operasi Polis

IPOH: Polis menahan tiga lelaki - dua pemandu kereta dan seorang penunggang motosikal - kerana didapati mabuk dalam "Ops samseng jalanan dan mabuk" di beberapa jalan utama di sekitar bandaraya ini, Jumaat.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd Rodzi berkata, mereka yang ditahan disiasat dibawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Bagaimanapun, mereka berusia dalam lingkungan 30-an kemudian dibebaskan dengan ikat jamin polis, katanya ketika dihubungi Jumaat.

Mohd Rodzi berkata, dalam operasi yang bermula pada pukul 11 malam tadi hingga 5 pagi ini polis turut mengeluarkan 19 saman ke atas pemandu kerana pelbagai kesalahan lalu lintas membabitkan 14 kereta dan lima motosikal.

Antara kesalahan ialah menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tiada cukai jalan, lesen memandu tamat tempoh, mengubahsuai ekzos, tiada lampu brek ketiga, meletak kereta di kawasan dilarang, tiada cermin sisi dan mengubah suai kenderaan.

Beliau berkata, seramai 39 anggota membabitkan polis trafik dan Rela telah mengadakan operasi di Jalan Raja Dihilir, Jalan Kuala Kangsar, Jalan Pasir Putih, Jalan Medan Ipoh dan Jalan Perajurit.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain