suria

Proses Pemindahan Pelajar MAlaysia Dari Mesir Ke Jeddah Percuma

KAHERAH: Proses memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, dilakukan secara percuma tanpa sebarang caj dikenakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan tempat tinggal, pengangkutan, cukai lapangan terbang, bayaran visa ke Jeddah serta makan dan minum secara percuma kepada mereka, katanya.

Jamil Khir berkata adalah satu fitnah mengatakan bahawa kerajaan mengenakan bayaran kepada pelajar Malaysia di Mesir yang dibawa ke Jeddah.

"Dalam masa kita memerlukan kerjasama semua pihak, tiba-tiba kita terpaksa fokus untuk menjawab hal fitnah yang tidak sepatutnya. Dalam hal seperti ini, kita perlu saling membantu," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Jamil Khir berkata kapal TLDM 'Bunga Mas 5' yang telah tiba di Pelabuhan Kaherah masih belum digunakan kerana penerbangan udara kini mencukupi untuk membawa keluar rakyat Malaysia.

"Kami dah tangguhkan dulu penggunaan kapal. Kita tahu perjalanan kapal laut akan mengambil masa jika dibandingkan dengan penerbangan.

"Berdasarkan mesyuarat terakhir semalam yang kita buat bersama dengan Majlis Keselamatan Negara, Wisma Putra, Kelab Putra 1Malaysia, kita memutuskan bahawa kita mampu menampung dengan tambahan penerbangan yang diberikan MAS, Airasia dan Aangkatan Tentera Malaysia," katanya.

Sebanyak lapan penerbangan dijadualkan untuk membawa 3,000 pelajar ke Jeddah hari ini, katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Putra 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata beberapa pesawat AirAsia juga dijangka ditambah untuk mempercepatkan proses pemindahan itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain