suria

Polis Larang Perhimpunan Di Mahkamah Shah Alam Isnin Ini

SHAH ALAM: Polis akan bertindak terhadap pihak yang cuba mencetuskan ketegangan dan terbabit dalam perhimpunan haram di depan Mahkamah Sesyen di sini Isnin depan, ketika anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Shuhaimi Shafiei didakwa berhubung satu entri dalam blognya, yang dikatakan menghina Sultan Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata sehubungan itu, semua pihak diharap menghormati undang-undang dengan tidak menyertai perhimpunan tersebut.

"Justeru, saya beri amaran untuk mengambil tindakan tegas dan tidak teragak-agak untuk bertindak jika berlaku keadaan kacau-bilau di mahkamah nanti.

"Faktor keselamatan akan diberi keutamaan oleh pihak polis," katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Beliau diminta mengulas kenyataan Shuhaimi dalam srimuda.blogspot.com yang mengajak rakyat Selangor berhimpun di depan mahkamah Isnin ini bagi mendengar pertuduhan terhadapnya.

Shuhaimi, yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kota Raja, dilaporkan akan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya.

Antara lain, entri itu didakwa mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Semalam (Khamis), Shuhaimi menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain