suria

Polis Johor Tahan Empat Lelaki Warga Asing Curi Pokok Karas

JOHOR BAHARU: Empat lelaki warga asing tanpa dokumen perjalanan, ditahan polis ketika memotong pokok karas dengan tujuan mencurinya di Pulau Pisang sekitar tengah hari Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Zahaliman Jamin dalam satu kenyataan berkata penahanan mereka yang berusia lingkungan 29 hingga 47 tahun itu dilakukan dengan kerjasama anggota Ikatan Sukarelawan Rakyat (Rela).

Beliau berkata polis kini menyiasat sama ada mereka bertindak secara individu atau melibatkan sindiket dalam kegiatan mencuri pokok kayu karas atau Depu, atau nama saintifiknya "Aquilaria" yang boleh diproses menjadi gaharu dan dikomersialkan sebagai bahan membuat kosmetik.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan kerana memasuki Malaysia tanpa permit yang sah.

Selain itu, mereka disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara Pindaan 1993, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM500,000 kerana mengambil hasil hutan dari hutan simpan kekal dan tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau didenda tidak lebih RM10,000 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Harga sekilogram gaharu ialah antara RM5,000 hingga RM60,000 bergantung kepada gred, manakala harga minyaknya (damar) pula adalah sepuluh kali ganda daripada nilai kayu gaharu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain