suria

Perintah Berkurung Dan Hak Pendaratan Sulitkan Operasi Pemindahan: Kohilan

KUALA LUMPUR: Misi 'Ops Piramid' untuk memindahkan lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir berhadapan dengan kekangan perintah berkurung dan hak pendaratan di lapangan terbang terlibat.

Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata perintah berkurung yang sebelum ini bermula dari pukul 4 petang hingga 8 pagi keesokannya kini telah dipercepatkan kepada pukul 1 petang.

"Kita terpaksa bergerak cepat untuk memastikan ramai pelajar dan rakyat kita (Malaysia) dapat dipindahkan kerana waktu yang ada begitu terhad dan ketika itulah kita nak bawa semuanya ke lapangan terbang," katanya, Jumaat.

Beliau berkata hak pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah juga agak sukar diperolehi akibat daripada keadaan tegang di Mesir.

Kohilan berkata operasi hari ini akan mula bergerak ke kawasan luar Kaherah antaranya ke Iskandariah, Mansura, Tanta, Zagazig serta daerah lain untuk memindahkan rakyat Malaysia.

"Di Kaherah, kita ada 5,700 orang tetapi di luar ibu negara kita ada kira-kira 4,000 orang, kita akan bergerak ke sana untuk memastikan semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Kohilan berkata suasana di sekitar kawasan berkumpul di Dewan Malaysia di Kaherah adalah tenang dan keluarga pelajar terbabit tidak perlu risau.

"Rusuhan cuma berlaku di jalan-jalan utama, berdekatan Istana Presiden, pejabat kerajaan yang lokasinya jauh dengan tempat operasi pemindahan berjalan," katanya.

Kohilan berkata sejak bermulanya 'Ops Piramid' semalam, kira-kira 760 rakyat Malaysia telah dibawa keluar dari Mesir.

Sejak 28 Jan lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain