suria

Muhyiddin Minta JPS Sediakan Makluman Berkala Paras Sungai Kepada Penduduk

PAGOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyediakan makluman berkala pada setiap jam mengenai paras air sungai supaya penduduk di kawasan berhampiran dapat bersiap sedia dalam menghadapi banjir.

Timbalan Perdana Menteri berkata berdasarkan lawatannya ke kawasan Parlimen Pagoh dan Muar hari ini beliau mendapati penduduk kampung di kawasan sekitar tidak menyangka berlakunya kenaikan air di Sungai Muar memandangkan cuaca yang panas dan terik sejak semalam.

"Saya lihat Pekan Pagoh dulu tidak pernah dinaiki air, di Panchor, Kundang Ulu dulu hanya kampung yang dinaiki air tetapi di pekan tidak terlibat. Kini pekan kecil di sepanjang Sungai Muar dinaiki air lebih tinggi dari paras biasa.

"Jadi saya minta JPS pantau kerana walaupun cuaca cerah tetapi orang Pagoh berpindah kerana air dari Sungai Muar dari Segamat yang bermula dari (sungai) Pahang dan Negeri Sembilan yang bila surut, air itu mengalir ke kawasan rendah seperti di Pagoh, Muar dan Ledang. Jadi orang kampung rasa cuaca cerah tidak hujan, macam mana boleh banjir," katanya.

Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh berkata demikian kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Raya, di sini.

Terdahulu beliau turut melawat mangsa banjir di SK Paya Panjang, SK Jorak dan SK Sri Bukit Pasir, di sini.

Timbalan Perdana Menteri berkata makluman oleh JPS itu boleh dikeluarkan secara berkala setiap jam menerusi radio, televisyen dan sebagainya supaya penduduk kampung boleh mengambil pelbagai langkah lebih awal.

"Sistem amaran (makluman) ini patut tiap-tiap hari. Maklumat ini penting, boleh guna satelit dan memang kita ada kelengkapan teknologi terkini. Situasi yang ada sekarang ini memerlukan kita menguruskan secara mikro. Saya lihat dulu ada (penduduk) pindah tapi sekarang mereka tidak pindah, jadi maklumat penting perlu disampaikan," katanya.

Mengenai lawatannya ke pusat-pusat pemindahan hari ini, Muhyiddin berkata beliau berpuas hati dengan situasi di pusat pemindahan yang mampu menampung kesemua mangsa banjir walaupun tidak begitu selesa.

Katanya beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 14,000 mangsa banjir di seluruh negeri Johor ketika ini dengan 2,600 daripadanya berada di Pagoh yang melibatkan 42 pusat pemindahan.

Keselamatan dan keperluan makanan kesemua mangsa yang berada di pusat pemindahan diuruskan dengan baik dan menurutnya beliau telah meminta pegawai perubatan meningkatkan pemeriksaan kesihatan kepada warga emas dan kanak-kanak.

"Bekalan makanan di kawasan yang terputus hubungan juga sudah dihantar dengan menggunakan helikopter. Jadi saya berpuas hati dengan jawatankuasa pengelola, saya dapat melihat semangat yang tinggi di kalangan pemimpin tempatan dan rakyat, agensi keselamatan seperti bomba, polis dan tentera serta lain-lain pihak," katanya.

Katanya kesemua mangsa banjir akan menerima bantuan wang ihsan mengikut formula yang ditetapkan manakala para penternak dan pengusaha tanaman pula akan dibantu oleh jabatan pertanian bagi mendapatkan bantuan benih dan ternakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain