Mayat Lelaki Berkecai Digilis Kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan - Semasa | mStar

Mayat Lelaki Berkecai Digilis Kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan

IPOH: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berkecai selepas digilis beberapa kenderaan di Km 269.9 Lebuhraya Utara-Selatan dalam satu kemalangan malam Khamis.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab berkata mayat Mohd Ridzuan Abdul Wahab, 25, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 malam yang kemudian membuat laporan polis.

Mohd Ridzuan yang menunggang motosikal dalam perjalan dari utara ke selatan dipercayai terjatuh selepas bergesel dengan kenderaan lain di lebuh raya itu dan digilis beberapa kenderaan lain, katanya ketika dihubungi Bernama, pada Jumaat.

Beliau berkata turut cedera dalam kejadian itu ialah seorang lagi penunggang motosikal yang merempuh Mohd Ridzuan.

Bagaimanapun Irwan Fahmi Mat Ariff, 22, seorang anggota tentera yang berasal dari sini hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, katanya.

Beliau berkata kejadian itu diklasifikasikan sebagai kes langgar lari dan polis meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain