suria

Kerajaan Selangor Biaya Kos Perundangan Shuhaimi

SHAH ALAM: Kos perundangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin ini, akan dibiayai kerajaan Selangor.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada Shuhaimi dan percaya Adun Sri Muda itu tidak mempunyai sebarang niat untuk memburukkan institusi Raja-Raja Melayu.

Kerajaan negeri tidak akan membiarkan Shuhaimi berseorangan dalam menghadapi tuduhan itu dan menyokong usaha beliau untuk menegakkan keadilan, kata kenyataan itu.

Shuhaimi yang juga Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Raja dilapor akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) (c) Akta Hasutan berhubung satu entri dalam blognya yang didakwa telah menghina Sultan Selangor.

Entri tersebut antara lain didakwa mempertikai keputusan Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Semalam, Shuhaimi hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerah diri dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Sarawak Jumpa PM Ahad Ini

Artikel Lain