suria

PM Harap Tahun Arnab Beri Kejayaan Pada Dasar Dan Agenda Kerajaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap kehadiran Tahun Arnab sempena Tahun Baru Cina kali ini akan membawa limpahan kejayaan kepada segala dasar dan agenda yang telah dibentangkan oleh kerajaan.

"Saya harap tahun ini tahun yang dapat memberi limpahan kejayaan sesuai kepercayaan tahun arnab iaitu tahun kejayaan dan rezeki boleh diperolehi.

"Ini akan hanya jadi kenyataan sekiranya semua dapat pastikan dasar-dasar kerajaan dan agenda yang dibentangkan dapat dilaksanakan sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui pemberita sempena Majlis Rumah Terbuka MCA, di Wisma MCA di sini, Khamis.

Najib yang hadir ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut berharap sektor swasta dan masyarakat Cina dapat turut sama memainkan peranan untuk menyokong dan mendokong kejayaan kerajaan berdasarkan agenda nasional.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pemimpin-pemimpin MCA termasuk Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, timbalan presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha dan beberapa pemimpin parti komponen lain.

Najib dan Muhyiddin turut menyaksikan kesemua pemimpin yang hadir bersama-sama menggaul 'Yee Sang' sebagai simbol perpaduan antara kaum di negara ini.

Cuaca cerah di ibu kota memeriahkan sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang disambut dengan pelbagai acara serta menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung antara pelbagai kaum di negara ini.

Kira-kira 2,000 warga kota turut sama memeriahkan acara di Wisma MCA yang turut menarik perhatian warga asing untuk berkongsi kegembiraan, tidak kurang juga yang tertarik dengan persembahan Tarian Singa yang dianggotai pelbagai kaum.

Kemeriahan acara sambutan di Wisma MCA turut dikongsi majlis sambutan sama anjuran Parti Gerakan yang diadakan di ibu pejabatnya di Bangunan PGRM di Pudu Ulu, yang turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin parti komponen.

Lebih menarik, sambutan Tahun Baru Cina Gerakan dimeriahkan dengan acara menggaul 'Yee Sang' sepanjang 13.7meter yang turut menyaksikan rakyat dapat bersama-sama menggaul juadah itu bersama para pemimpin Barisan Nasional (BN).

Artikel Lain