suria

Kedutaan Malaysia Lancar Pelan Tindakan Evakuasi Pelajar Di Mesir

KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah melancarkan Pelan Tindakan Evakuasi untuk membawa keluar warga Malaysia, khususnya pelajar dari negara bergolak itu.

Berdasarkan kenyataan yang disiarkan di blog Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah, operasi pelan akan bermula Rabu, di mana rakyat Malaysia akan dibawa keluar melalui penerbangan ataupun pelayaran.

Berdasarkan modus operandi pelan berkenaan, mereka yang masih berada di negara itu akan dikumpulkan di beberapa tempat sebelum penerbangan keluar dibuat dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kesemua individu yang diselamatkan melalui penerbangan ehsan akan dikumpulkan di Jeddah.

Individu dari Kaherah akan berkumpul di Kompleks Haiyyu Ashir dan DMAK; dari Iskandariah akan berkumpul di Rumah MARA manakala mereka dari Mansourah pula akan diterbangkan ke Iskandariah sebelum dibawa ke Jeddah dan berkumpul di Hotel New Mansourah.

Para peserta dikehendaki berkumpul sebelum bertolak ke lapangan terbang pada masa yang ditetapkan iaitu di Kaherah pada 11 pagi 2 Februari; dan pada 10 pagi 3, 4 dan 5 Februari.

Peserta dari Iskandariah pula perlu berkumpul pada 9 pagi 4, 5 dan 6 Februari.

Rakyat Malaysia yang mengikuti pelayaran pula akan melalui Pelabuhan Al-Adabiyah sebelum ke Pelabuhan Jeddah dan berkumpul di Kompleks Haiyyui Ashir.

"Jeddah adalah pusat transit (penginapan di asrama Tabung Haji) untuk tempoh tidak melebihi sebulan, penginapan dan makan minum ditanggung oleh Kerajaan Malaysia," demikian menurut kenyataan itu.

Pelayaran dari Pelabuhan Jeddah menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang atau Pelabuhan Klang.

Kos perjalanan balik ke Mesir adalah atas tanggungan sendiri. Bagaimanapun perjalanan dari tempat penginapan ke pelabuhan atau lapangan terbang disediakan.

Setiap peserta hanya dibenarkan membawa bagasi kecil tidak melebihi tujuh kilogram, selain diingatkan supaya membawa pasport/dokumen perjalanan yang sah.

Menurut kenyataan itu lagi, operasi menyelamat itu akan terlebih dahulu ditumpukan kepada pelajar wanita, pelajar berkeluarga, pelajar yang uzur dan sakit, berada di zon risiko tinggi, pelajar tahun pertama dan pelajar sekolah rendah/sekolah menengah.

Selain itu, pelajar juga perlu mengisi borang makluman pelajar sebelum mengikuti penerbangan dan pelayaran berkenaan.

Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada para pegawai kedutaan iaitu Saharudin Hassan (+2010-5005338), Wan Ahmad Tarmizi Wan Idris (+2010-1101004), Muhammad Hazam Hajanan (+2010-8714264) dan Samsul Kahar Kamarudin (+2010-5382715). BERNAMA

Artikel Lain