Warga Wilayah Persekutuan Berhak Dapat Kehidupan Berkualiti, Titah Tuanku Mizan - Semasa | mStar

Warga Wilayah Persekutuan Berhak Dapat Kehidupan Berkualiti, Titah Tuanku Mizan

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Selasa bertitah rakyat yang tinggal di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan berhak mendapat kehidupan yang berkualiti, setaraf dengan status penubuhannya.

Justeru titah baginda, badan yang bertanggungjawab menguruskan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan itu harus memastikan perkhidmatan yang diberi kepada penduduk bermutu daripada segala segi.

"Warga Kuala Lumpur umpamanya, berhak untuk mengharapkan perkhidmatan yang berkualiti daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur daripada segi keselamatan, kebersihan, perumahan, pengangkutan dan peluang-peluang ekonomi di sebuah bandar raya yang moden dan kompetitif setanding metropolitan lain di dunia.

"Demikian juga dengan rakyat di Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya. Beta berharap warga Wilayah Persekutuan akan dapat menikmati pembangunan yang setimpal dengan statusnya sebagai pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa," titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah demikian sempena istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Melawati, di sini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin yassin.

Dalam titahnya, Tuanku Mizan turut meminta Perbadanan Putrajaya memberi tumpuan kepada penyenggaraan dan penambahbaikan prasarana di Wilayah Persekutuan Putrajaya selaras dengan statusnya sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

"Beta berharap para pentadbir awam janganlah terlalu cepat berpuas hati, sebaliknya terus berusaha untuk memperbaiki mutu hidup di Putrajaya, khususnya dari aspek-aspek keberkesanan pengangkutan awam, kesempurnaan kemudahan-kemudahan awam dan perumahan serta pengekalan kualiti alam sekitar," titah baginda.

Baginda juga mahu lebih banyak aktviti kesenian, kebudayaan, pelancongan dan riadah dianjurkan di Putrajaya bagi meningkatkan lagi keceriaan dan kualiti kehidupan warganya.

Pada masa yang sama, Tuanku Mizan turut mengingatkan rakyat di Wilayah Persekutuan bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu kerajaan baginda dalam usaha memastikan perpaduan dan keharmonian kaum serta agama sentiasa terpelihara.

Pada Istiadat itu, Tuanku Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011 kepada 256 penerima. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

Artikel Lain