suria

Utusan Kembali Dilantik Sebagai Agen Iklan RTM

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hari ini memperbaharui kontrak Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd sebagai ejen pemasaran masa siaran radio dan televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Disaksikan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, perjanjian selama dua tahun (2011-2012) itu dimeterai antara Ketua Setiausaha kementerian Datuk Kamaruddin Siaraf bagi pihak kementerian manakala Kumpulan Utusan Melayu oleh Pengerusi Eksekutifnya Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Kumpulan Utusan sebelum ini telah diberi kepercayaan sebagai ejen pemasaran masa siaran radio (2006-2009) dan televisyen (2007-2010).

Perolehan keuntungan radio bagi tahun pertama ialah RM16 juta, tahun kedua RM19 juta, RM21 juta (tahun ketiga) manakala televisyen pula memperoleh RM68 juta bagi tahun pertama, RM45 juta (tahun kedua) dan RM75 juta (tahun ketiga).

Bercakap kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak itu, Rais berkata beliau yakin medium radio dan televisyen mampu mencapai keuntungan yang lebih besar pada tahun ini berdasarkan prestasi keuntungan sebelum ini.

"Bagi kedua-dua pihak mestilah berusaha keras supaya dapat iklan yang menyumbang kepada program-program kita yang menarik, boleh jadi filemnya harus hebat, dramanya bermutu tinggi, komedi serta hiburannya meningkat dengan terus-menerus, maka dengan itu ramailah pengiklan boleh dicari oleh Utusan dengan kementerian," katanya.

Rais berkata, satu jawatankuasa pemantau akan dibentuk selepas cuti Tahun Baru Cina itu bagi membantu kedua-dua pihak mencapai sasaran keuntungan.

"Saya yakin dengan pemantauan yang lebih sempurna tahun ini, kita akan capai tahap yang lebih memuaskan bagi kedua-dua pihak, saya fikir setiap minggu atau setiap bulan mereka mesti buat penilaian ke atas kerja-kerja yang dilaksanakan untuk menentukan kapasiti pencapaian," katanya.

Melalui perjanjian itu, kementerian akan memperoleh 70 peratus agihan keuntungan daripada pengiklanan manakala Kumpulan Utusan 30 peratus.

Rais turut menegaskan pemeteraian perjanjian itu bukan sahaja meliputi perjuangan menerusi wang ringgit ataupun pengkomersilan semata-mata tetapi juga untuk tujuan membina negara bangsa seperti gagasan 1Malaysia.

"Membina negara bukan hanya menerusi pengkomersilan sahaja, sedikit sebanyak kerugian ditanggung dari masa ke semasa kerana dalam membina negara bangsa, ada aspek yang tidak ternilai menerusi wang ringgit," katanya.

Artikel Lain