suria

Rais Dapat Perintah Mahkamah Agar Penulis Blog Buang Makalah Berbaur Fitnah

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini mendapat injunksi daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan seorang penulis membuang makalah berbaur fitnah terhadap beliau daripada laman blognya.

Ketika membenarkan permohonan Rais itu, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan Amizudin Ahmat, atau ejennya, membuang perkataan atau makalah berunsur fitnah dan foto plaintif (Rais) daripada blognya, sharpshooterblogger.blogspot.com.

Hakim juga membenarkan permohonan Rais untuk menghalang Amizudin atau ejennya daripada terus menyiarkan makalah berbaur fitnah itu atau mana-mana makalah berbaur fitnah lain terhadap beliau dalam blog penulis itu atau mana-mana blog dan medium lain sehingga selesai pendengaran injunksi inter-parte pada 22 Februari ini.

Peguam Azad Bashir daripada Tetuan Shafee & Co mewakili Rais.

Pada 31 Januari, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa Sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat, berhubung makalah berkenaan yang tersiar dalam blog penulis itu berserta foto Rais pada atau kira-kira pada 28 Disember tahun lepas.

Dalam saman yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co, Rais menuntut ganti rugi umum, ganti rugi khas, ganti rugi teruk, ganti rugi punitif, faedah dan injunksi terhadap defendan supaya membuang dan menghalang defendan daripada terus menyiarkan makalah berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata kesemua perkataan dalam makalah berbahasa Melayu itu berniat jahat dan berbaur fitnah terhadap beliau.

Rais berkata perkataan dalam makalah itu bermaksud dan/atau boleh difahamkan bermaksud bahawa beliau melakukan satu kesalahan serius iaitu merogol dan berkemampuan membunuh pembantu rumahnya yang berasal dari Indonesia.

Dalam pernyataan tuntutan berkenaan, Rais berkata perkataan yang berbaur fitnah itu juga bermaksud beliau seorang manusia dan/ atau pemimpin yang tidak bermoral.

Kata Rais, berikutan penyiaran makalah itu, nama baik beliau secara peribadi dan/atau secara profesional telah tercemar teruk di peringkat nasional dan/atau antarabangsa, daripada segi ketokohan dan kredit, dan telah diseretkan ke dalam skandal, kebencian dan kehinaan di mata umum serta mengalami keaiban, tekanan dan kerugian.

Rais, yang juga Anggota Parlimen Jelebu, menafikan tuduhan itu bulan lalu selepas nama beliau disebut oleh seorang penulis blog.

Selepas itu, seorang wanita yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah beliau selama lapan tahun dilaporkan sebuah portal berita Indonesia telah menafikan yang dia pernah dilayan secara kejam atau dirogol oleh majikannya. BERNAMA

Artikel Lain