suria

MAS Hantar Jumbo 747, AirAsia A320 Ke Kaherah

SUBANG JAYA: Penerbangan Malaysia (MAS) akan menghantar pesawat jumbo Boeing 747 MH8010 ke Kaherah untuk membawa pulang pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia yang kini terkandas di sana.

Pesawat tersebut akan berlepas pada jam 9 pagi Khamis dan dijangka tiba di Kaherah pada jam 1.20 petang (waktu Mesir). Dari sana pesawat berkenaan akan membawa keluar para pelajar dan rakyat Malaysia ke destinasi selamat paling hampir iaitu Jeddah di Arab Saudi.

Pesawat jumbo tersebut dapat membawa 359 orang penumpang dan akan berulang alik sekerap yang mungkin (bergantung kepada kebenaran pihak berkuasa lapangan terbang Kaherah) dari Kaherah-Jeddah setiap hari. Pengarah Operasi MAS, Kapten Mohamed Azharuddin Osman berkata, kakitangan operasi dan teknikal akan ditempatkan di Jeddah bagi memudahkan operasi membawa keluar rakyat Malaysia itu sehingga selesai.

MAS juga katanya sedang berurusan dengan semua pihak berkuasa bagi membolehkan operasi mereka dilakukan secara teratur khususnya dalam menempatkan rakyat Malaysia di Jeddah buat sementara waktu sehingga mereka boleh di bawa pulang ke Malaysia.

Sementara itu, AirAsia telah menghantar pesawat A320nya ke Sharjah, United Arab Emirates (UAE) pada jam 2 petang Rabu sebagai persediaan untuk membawa pulang rakyat Malaysia. Pesawat itu berlepas dari Terminal Tambang Murah Sepang. Ia akan meneruskan perjalanannya ke Jeddah dan kemudian Kaherah. AirAsia akan membuat tiga penerbangan sehari dari Kaherah-Jeddah-Kaherah pada Khamis dan Jumaat, kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Beliau sendiri mengetuai misi menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia bagi pihak AirAsia.

Artikel Lain