suria

Mangsa Kebakaran Kampung Titingan Dibantu Mengikut Peraturan

TAWAU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedia memberi bantuan termasuk bantuan perumahan kepada mangsa kebakaran di Kampung Titingan, terutama penduduk tempatan.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata pemberian bantuan berkenaan bergantung peraturan sedia ada dan berdasarkan saranan pihak kerajaan egeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Bagi kerajaan persekutuan, melalui ementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kita akan lihat jika ada keperluan untuk kita membantu mereka termasuk bantuan rumah, kita akan bantu. Ini akan kita selaraskan dengan pihak kerajaan negeri.

"Ada antara mereka ini ada keterangan diri dan ada pula yang tidak. Kita akan beri bantuan mengikut peraturan yang ada," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran di Kampung Titingan serta menyerahkan bantuan asas seperti beras dan gula serta keperluan lain kepada 64 keluarga melibatkan 449 mangsa kebakaran di sini, Selasa.

Menurut Shafie walaupun ada antara mangsa kebakaran berkenaan tidak memiliki keterangan diri namun berdasarkan kemanusiaan mereka turut diberi sedikit bantuan keperluan harian.

Seorang penerima yang ditemui, Lamiti Dalmaiti, 42, berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi mereka bantuan yang disifatkannya membantu meringankan beban mereka selepas tinggal sehelai sepinggang akibat kebakaran itu.

Beliau yang kini tinggal menumpang di rumah jiran berkata pemberian berkenaan adalah bukti kerajaan amat prihatin dengan masalah rakyat. - BERNAMA

Artikel Lain