suria

Korban Banjir Johor Meningkat 3 Orang

JOHOR BARU: Jumlah mangsa yang terkorban akibat banjir di Johor meningkat kepada tiga orang dengan penemuan mayat seorang wanita di Kampung Lukut Cina, Kota Tinggi, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Sebot berkata mayat mangsa berusia 52 tahun itu ditemui oleh orang ramai dalam sebuah longkang sedalam dua meter di kampung tersebut.

Katanya, mangsa dilaporkan hilang beberapa jam selepas meninggalkan rumahnya pada pukul 5 petang, Ahad lalu.

"Sebelum ini, operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan polis gagal menemui mangsa," katanya ketika dihubungi.

Ahad lalu, dua wanita, seorang di Cha'ah, Segamat dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya, menjadi mangsa korban banjir di negeri itu.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, bencana banjir yang melanda Johor menunjukkan tanda untuk pulih apabila sejumlah 37,869 mangsa daripada 9,094 keluarga berada di pusat pemindahan setakat pukul 8 malam ini.

Laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor www.johordt.gov.my menyebut mangsa di daerah Segamat menunjukkan penurunan dengan 15,179 orang melibatkan 3,587 keluarga.

Ini diikuti Ledang dengan 7,273 orang daripada 1,744 keluarga, Batu Pahat 4,979 orang (1,232 keluarga), Muar 6,734 orang (1,664 keluarga) dan Kluang 1,869 orang (448 keluarga).

Portal itu juga melaporkan di Kota Tinggi seramai 1,292 orang daripada 286 keluarga dipindahkan, Pontian 517 orang (125 keluarga) dan Mersing 26 orang (lapan keluarga).

Pusat pemindahan di Johor Baru ditutup secara berperingkat hari ini apabila kesemua mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing ekoran cuaca yang cerah sepanjang hari.

Portal itu menyebut sehingga kini 187 pusat pemindahan masih dibuka iaitu 65 di Segamat, Ledang (32), Batu Pahat (30), Muar (24) Kluang (14), Kota Tinggi (12), Pontian (9) dan Mersing (1).

Di NEGERI SEMBILAN, keadaan banjir di negeri itu semakin pulih dengan 624 orang daripada 165 keluarga masih berada empat pusat pemindahan.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata, setakat pukul 9 malam ini, seramai 601 mangsa berada di tiga pusat pemindahan di daerah Tampin dan 23 mangsa di daerah Jempol. BERNAMA

Artikel Lain