suria

Kerajaan Disaran Guna SMS Sebar Amaran Banjir

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang memanfaatkan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai sistem amaran awal banjir bagi membantu penduduk untuk segera berpindah dengan cepat dan selamat.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Keizrul Abdullah berkata, sistem berasaskan SMS itu telah diuji dan terbukti keberkesanannya tetapi penggunaannya terhad kepada kakitangan jabatan tersebut.

Katanya, mereka dipertanggungjawabkan menghubungi pihak berkuasa apabila berlaku banjir.

"Sistem ramalan dan amaran banjir di negara ini sudah agak canggih berbanding dengan sistem seumpama itu milik negara-negara Asean yang lain.

"Ia sama seperti sistem amaran tsunami. Saya rasa JPS kini sudah boleh mengembangkan penggunaannya kepada orang ramai," katanya kepada mStar Online di sini Selasa.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya kerajaan mengkaji sistem amaran awal banjir yang lebih berkesan dalam usaha membantu penduduk untuk berpindah dengan cepat dan selamat pada 31 Januari lalu.

Beliau akan membawa perkara tersebut dalam perbincangan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran usaha memindahkan mangsa banjir.

Menurut Keizrul, sebelum ini JPS memperkenalkan empat sistem ramalan dan amaran banjir.

Jelas beliau, sistem tersebut terdiri daripada penyebaran amaran menerusi Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), pengemaskinian maklumat paras air sungai serta sukatan hujan di laman web 'Info Banjir', pemasangan siren di tempat-tempat berkecenderungan dilanda banjir dan SMS.

"JPS akan membuat pemantauan apabila hujan turun. Selepas itu, JPS akan membuat analisa dan ramalan bila banjir dijangka berlaku sebelum dihebahkan kepada orang ramai menerusi medium tersebut," katanya.

Artikel Lain