suria

Jentera Penerangan BN PRK DUN Merlimau Dilancar Sabtu Ini

MELAKA: Jentera Penerangan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau akan dilancarkan pada Sabtu ini di Air Merbau, Merlimau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu berkata pelancaran jentera penerangan itu sebagai persediaan awal sebelum kempen bagi pilihan raya kecil itu dibenarkan selepas penamaan calon pada 26 Februari ini.

"Pelancaran jentera penerangan itu akan dilakukan bersama oleh saya dengan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pada pukul 3 petang di dewan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Seri Bendahara di sini Rabu.

Turut hadir pada perjumpaan yang membincangkan mengenai strategi dan kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau itu turut dihadiri Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Ketua Penerangan Umno Melaka, Datuk Idris Haron.

"BN Melaka juga memutuskan untuk menjemput semua jentera BN di seluruh negara untuk membantu berkempen sepanjang tempoh (kempen) pilihan raya bagi (meraih) majoriti yang lebih baik berbanding pilihan raya umum 2008," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN meninggal dunia pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 6 Mac jika ada pertandingan.

Mohd Ali berkata beliau akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa depan di Putrajaya untuk memberi taklimat mengenai pilihan raya kecil itu.

"Juga perjumpaan itu untuk berbincang dengan Najib mengenai calon bagi DUN Merlimau," katanya. Umno Bahagian Jasin telah mengemukakan senarai nama tujuh calon kepada Mohd Ali untuk semakan dan pertimbangan.

Sementara itu, Ahmad berkata kemenangan BN pada pilihan raya kecil di DU NTenang, Johor dengan tambahan majoriti pada Ahad lepas dan juga kemenangan sebelumnya di Batu Sapi, Galas, Hulu Selangor dan Bagan Pinang diharap akan berterusan di Merlimau.

"Kalau boleh, kita bawa semangat Tenang dan juga pilihan raya kecil lain yang BN memenanginya ke Merlimau iaitu menang dengan majoriti yang lebih besar daripada keputusan pilihan raya umum 2008," katanya. BERNAMA

Artikel Lain