suria

Inspektor Hadapi Tiga Pertuduhan Rasuah

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM4,500, dua tahun lepas.

Masrizan Bujang, 27, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, didakwa telah secara rasuah memperoleh wang tunai RM1,000 daripada seorang kontraktor, Haibedul Malek Abdullah sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes Haibedul di atas kesalahan mencuri pada 3.30 petang, 2 September 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Masrizan didakwa cuba memperoleh wang tunai RM2,000 daripada kontraktor itu sebagai dorongan untuk tidak meneruskan tindakan ke atasnya bagi kesalahan yang sama pada 2.30 petang, 4 September 2009.

Tertuduh juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersetuju untuk menerima RM1,500 daripada kontraktor itu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kesnya bagi kesalahan mencuri pada 2.15 petang, 29 Oktober 2009.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Jalan Stadium di sini, mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadzillah Mohd Ossman dari SPRM menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan dua orang penjamin dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali dalam dua minggu.

Peguam Intan Suhana Mahamad Nor, bagaimanapun merayu supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM4,000 kerana anak guamnya tidak mampu menyediakan wang seperti yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

"Tertuduh telah digantung daripada tugasnya hampir setahun dan ini merupakan kesalahan pertamanya," katanya.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali dalam dua minggu.

Mohamad Sekeri menetapkan 2 Mac depan untuk sebutan kes.

Tertuduh membayar wang jaminan itu. - BERNAMA

Artikel Lain