suria

Penuntut Malaysia Di Mesir Dinasihat Berkumpul, Jaga Keselamatan

PUTRAJAYA: Semua penuntut Malaysia yang berada di Mesir pada masa ini dinasihat agar berkumpul sesama mereka dan saling menjaga keselamatan masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun kerajaan, melalui Kedutaan Malaysia dan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di sana sentiasa berusaha untuk memastikan keselamatan mereka, mereka juga perlu mengambil tanggungjawab memandangkan keadaan bertambah serius.

"Pegawai kita pergi kesemua rumah-rumah negeri untuk memastikan bahawa semua penuntut selamat, dan memberi nasihat dalam soal menjaga bekalan makanan, elakkan tempat-tempat tumpuan ramai dan tidak terbabit dalam demonstrasi dan sebagainya.

"Paling utama ialah penuntut berkenaan mesti bertanggungjawab mengenai keselamatan diri mereka kerana kita tidak dapat harap kedutaan atau MSD (Jabatan Penuntut Malaysia) berada di sana sepanjang masa," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Mohamed Khaled berkata ,kerajaan juga sedang meneliti pelbagai pendekatan bagi memastikan keselamatan kira-kira 11,000 rakyat Malaysia yang berada di negara itu, termasuk untuk memindahkan mereka ke negara terdekat seperti Jordan atau Syria sekiranya keadaan memerlukan.

Sebelum itu, Mohamed Khaled menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Menteri Pelajaran Thailand Chinnaworn Boonyakita dalam bidang pengajian tinggi.

Beliau berkata, dengan termetrainya perjanjian itu, satu kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan yang dianggotai oleh pegawai dari kedua buah negara bagi mengenal pasti bidang-bidang kerjasama termasuk perkongsian pengetahuan dan latihan kepada tenaga akademik, penyelidikan dan pembangunan, mobiliti pelajar dan makanan halal.

"Thailand adalah negara jiran yang terdekat dan dengan jumlah penduduk seramai 64 juta ia sudah tentu memberi ruang dan peluang untuk kerjasama dan rakyatnya juga mencari ruang dan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. "Dengan MoU ini kita boleh susun dan melihat sejauh mana kita boleh mendapat dan memberi kerjasama kepada negara Thailand dan kita juga belajar dari dia dalam soal meningkatkan hab pendidikan melalui sektor pengajian tinggi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain