suria

Pengarah Syarikat Ditipu RM1.7 Juta

KUANTAN: Seorang pengarah syarikat kerugian RM1.7 juta setelah ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Pahang dengan menawarkan tanah seluas lebih 3,000 hektar di beberapa daerah di Pahang untuk dimajukan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supritenden Zaini Jass berkata, mangsa yang berusia 67 tahun mula dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai Ketua Penolong Setiausaha Pelaburan UPEN sejak penghujung Disember tahun lepas.

"Suspek menggunakan identiti pegawai UPEN yang sebenar iaitu Jomshoiry Novdany Sulaiman dan menawarkan empat kawasan tanah pajakan untuk tujuan pertanian dan perlombongan," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata, lelaki yang dipanggil Dany itu menawarkan empat tanah pajakan seluas 20.2 hektar di kawasan Gebeng; Rompin (2,630.4 hektar); Raub (260.2 hektar) dan Lipis (429.8 hektar) yang kononnya dimiliki oleh Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang.

Katanya, lelaki terbabit kemudian meminta sejumlah wang daripada mangsa bagi memproses tawaran berkenaan.

Zaini berkata, mangsa kemudian membuat lima kali bayaran tunai yang diambil sendiri suspek di kawasan tempat letak kereta dan lobi bangunan Wisma Sri Pahang di sini dan dua lagi bayaran kepada wakil perantara yang dilantik oleh suspek di kawasan yang sama.

Beliau berkata, sepanjang urusan itu, mangsa telah membayar RM1.2 juta dalam bentuk wang tunai sementara RM450,500 dibayar melalui bank draf di atas nama Tabung Amanah Perbadanan Setiausaha Negeri Pahang.

Katanya, mangsa hanya disedari ditipu pada Jumaat lepas selepas dia dihubungi lelaki terbabit yang meminta tambahan wang sebanyak RM500,000 bagi urusan berkenaan.

"Mangsa yang mula curiga dengan urusan berkenaan pergi ke pejabat UPEN yang terletak di Wisma Sri Pahang untuk bertanyakan mengenai kesahihan tuntutan wang tambahan tersebut," katanya.

Namun, sebaik menemui pegawai yang sebenar, dia dimaklumkan tiada sebarang tawaran seperti itu oleh pihak UPEN, katanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan polis kini mengesan tiga individu iaitu Mohd Nazrul Izad Mohd Arshad, 32; Syed Sharuddin Syed Abd Hamid, 42 dan Syed Faiz Syed Mohammad Azemmant, 24, untuk membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain