suria

Lelaki Iran Edar Dadah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pemandu teksi warga Iran selepas didapati bersalah mengedar 540.9 gram syabu, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu terhadap Alihosseinzadeh Bashir, 35, selepas mendapati pembelaannya gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Abdul Rahim mempertimbangkan keterangan yang diberikan oleh enam saksi pendakwaan dan keterangan tidak bersumpah tertuduh semasa membela diri.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.45 petang, 26 Disember 2009 di Kaunter Pemeriksaan Kastam di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CCPI), Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) , Sepang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Kastam Diraja Malaysia, Nor Ariffin Hisham mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili oleh peguam-peguam Salim Bashir dan Halim Ashgar didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 8 Januari 2010.

Artikel Lain