suria

Krisis Mesir: Keselamatan Pelajar Malaysia Semakin Membimbangkan

PETALING JAYA: Keadaan keselamatan di Mesir ketika ini semakin membimbangkan berikutan kejadian kecurian dan jenayah yang turut melibatkan pelajar Malaysia.

Berdasarkan maklumat terkini, sebuah rumah pelajar perubatan Universiti Mansurah di Iskandariah dipecah masuk oleh penjenayah yang mengambil kesempatan ekoran kekalutan di negara itu ketika ini.

Bagaimanapun Timbalan Setiausaha pelajar Perubatan Cawangan Mansurah (PCM), Nik Nur Fariha Mohamed Zalami berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan berlaku dalam insiden berkenaan.

Menurut pelajar tahun empat Universiti Mansurah itu, keadaan di bandar utama Mesir iaitu Kaherah dan Iskandariah yang kini dipenuhi dengan ribuah penunjuk perasaan berada dalam keadaan luar kawalan dan membimbangkan.

"Dua bahagian ini iaitu Kaherah dan Iskandariah cukup berbahaya, kumpulan pelajar yang berada di sana berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi mstar Online di sini, Selasa.

Nik Nur Fariha kini berada di Aldgate, London. Beliau meninggalkan Mesir bersama beberapa rakannya pada Jumaat lalu iaitu selepas tiga hari berlakunya rusuhan bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Maklumat berkenaan disampaikan oleh Pengerusi PCM, Ahmad Azizi Md Jusoh yang kini masih berada di Mansurah, Mesir.

Selain itu, Nik Nur Fariha yang menjadi perantara saluran maklumat antara pelajar perubatan di Mansurah dan wakil persatuan mereka di Malaysia mengenai perkembangan terkini di mesir berkata, situasi di bandar Mansurah agak terkawal berbanding di kawasan lain.

Bagaimanapun katanya, keadaan berkenaan dikhuatiri akan berubah dalam masa terdekat berikutan perkembangan terkini iaitu kumpulan penunjuk perasaan mula memasuki kawasan bandar Mansurah.

"Tapi buat masa ini kawasan blok kediaman pelajar Malaysia sains perubatan di Tir'ah masih selamat.

"Tiada anggota polis, sebaliknya tugas mengawal keselamatan diambil alih oleh pihak tentera. Manakala pada waktu malam masyarakat arab tempatan turut mengadakan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan," katanya.

Terdapat 755 pelajar Malaysia belajar di Universiti Mansurah dengan 298 daripadanya ialah lelaki manakala 457 adalah wanita.

Tambahnya lagi, pelajar Malaysia di Mansurah kini sudah bersiap-sedia menunggu arahan daripada pihak Keduataan Besar Malaysia, Kaherah untuk dipindahkan.

"Walaupun tiada sebarang arahan diterima, tapi kumpulan pelajar di sana sudah bersiap-sedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.

Jelas beliau, kumpulan pelajar Malaysia di Mansurah bagaimanapun tidak menghadapi masalah bekalan makanan.

"Bekalan makanan masih boleh dibeli, tapi sejak berlakunya rusuhan, harga barang makin naik dan lebih mahal," katanya.

Sejak Selasa minggu lalu, beberapa demonstrasi jalanan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansurah.

Daripada 11,319 pelajar Malaysia di negara itu, 6,135 sedang mengikuti jurusan pengajian Islam dan selebihnya dalam bidang perubatan.

Artikel Lain