suria

Kerajaan Diminta Segera Bawa Pulang Pelajar Malaysia Di Mesir

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempercepatkan tindakan membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir ekoran situasi semasa yang semakin buruk.

Anggota Dewan Negara, Senator Mohamad Ezam Mohd Nor yang kini turut terkandas di Lapangan Terbang Kaherah bersama ratusan pelajar Malaysia, berkata buat masa ini keadaan keselamatan mereka adalah terkawal serta masih bersemangat tinggi.

"Mereka masih dalam keadaan terkawal dan selamat, tetapi keadaan di Cairo semakin gawat. Saya jangkakan keadaan akan semakin buruk.

"Kerajaan Amerika Syarikat telah pun menghantar pesawat untuk mengeluarkan warga mereka. Saya menyeru kerajaan Malaysia supaya bertindak segera dan memulakan rencana membawa pulang pelajar kita," katanya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada Bernama, di sini Isnin.

Ezam berada di Mesir bagi mempromosikan bukunya yang bertajuk 'Islam dan Rasuah'.

Dilaporkan pada masa ini terdapat 10,328 pelajar Malaysia di Mesir yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana.

Sejak Selasa lepas, beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - BERNAMA

Artikel Lain