suria

Inkues Teng Beng Hock: Semakan Tetap Diteruskan

SHAH ALAM: Permohonan semakan yang difailkan oleh Peguam Negara terhadap keputusan terbuka dalam prosiding inkues siasatan kematian pembantu politik, Teoh Beng Hock akan tetap diteruskan walaupun Suruhanjaya Diaraja telah ditubuhkan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad semasa kes itu disebut di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

“Permohonan semakan telah difailkan pada 7 Januari lalu manakala penubuhan suruhanjaya diumumkan pada 26 Januari lalu, iaitu selepas permohonan difailkan. Oleh itu, pihak pendakwaan berhasrat untuk meneruskan permohonan ini,” katanya.

Justeru itu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan 17 Februari ini sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan pihak yang terlibat melihat skop penyiasatan suruhanjaya sebelum membuat keputusan sama ada semakan tersebut masih diperlukan.

Suruhanjaya tersebut akan bersidang untuk kali pertama pada 14 Februari ini.

Mohtarudin juga memutuskan untuk membenarkan hanya pihak yang terlibat secara langsung iaitu pendakwa raya dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh untuk mengambil bahagian dalam pendengaran semakan.

“Kebiasaannya pada prosiding inkues, pihak polis akan diwakili oleh pihak pendakwa raya untuk mengemukakan keterangan saksi.

"Keluarga mendiang perlu diberi hak untuk terlibat dalam permohonan ini kerana anak mereka telah meninggal dunia dan semakan ini merupakan saluran untuk melahirkan apa-apa yang terkilan,” katanya.

Beliau menambah, pihak pemerhati iaitu Kerajaan Selangor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Peguam hanya boleh memerhati perjalanan pendengaran tersebut.

Pada prosiding itu, Kerajaan Selangor diwakili oleh peguam Malik Imtiaz Sarwar manakala SPRM diwakili Ketua Unit Pendakwaannya, Datuk Abdul Razak Musa sementara peguam Rajpal Singh hadir bagi Majlis Peguam.

Turut hadir bagi pihak pendakwaan ialah Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazzafree Mohd Abbas.

Permohonan semakan difailkan berhubung keputusan terbuka yang dibuat oleh Koroner Azmil Muntapha Abas pada 5 Januari lalu berhubung punca kematian Teoh yang merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor.

Azmil Muntapha dalam keputusannya menolak punca kematian Teoh disebabkan oleh bunuh diri dan juga memutuskan bahawa bukti yang ada tidak dapat membuktikan melebihi keraguan yang munasabah bahawa mendiang telah dibunuh.

Keputusan itu tidak dapat diterima oleh keluarga dan juga penyokong Teoh yang mengaitkan kematian tersebut dengan SPRM kerana beberapa jam sebelum itu dia disoal siasat di pejabat SPRM.

Mayat Teoh ditemui pada 16 Julai 2009 di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini manakala pejabat SPRM terletak di tingkat 14, plaza yang sama.

Pada 26 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan suruhanjaya tersebut akan dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan perlu menyelesaikan siasatannya dalam tempoh tiga bulan.

Tempoh tersebut bermula dari tarikh tauliah perlantikan dikeluarkan dan laporan suruhanjaya tersebut perlu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Turut menganggotai suruhanjaya itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik/Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Anggota yang lain iaitu Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya dan tiga pegawai kerajaan dilantik sebagai pegawai pengendali suruhanjaya.

Mereka ialah Timbalan Ketua Bahagian Guaman 1, Amarjeet Singh dan dua Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Terma rujukan Suruhanjaya itu juga telah ditetapkan untuk menyiasat sama ada atau tidak terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan pemeriksaan Teoh Beng Hock dalam perjalanan penyiasatan Laporan Shah Alam Nombor 0052/2009 oleh SPRM berhubung dengan Perintah-Perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai, jika perlu.

Ia juga meliputi penyiasatan kematian Teoh dan hal keadaan yang menyelubungi dan membawa kepada kematiannya.

Artikel Lain