suria

Banjir Di Johor Ragut Nyawa Dua Wanita

JOHOR BAHARU: Banjir yang melanda Johor meragut nyawa dua wanita, seorang di Cha'ah, Segamat dan seorang lagi di Kampung Rahmat, Kulaijaya.

Kedua-duanya terperangkap dalam kenderaan masing-masing yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian malam Ahad.

Di Cha'ah, Rohani Ismail, 51, lemas selepas kereta yang dipandunya dihanyutkan arus deras di KM145 Jalan Johor Baharu-Seremban, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Supt Abdul Majid Mohd Ali.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam tadi ketika Rohani bersama empat anggota keluarganya dalam perjalanan pulang ke Felda Keratong 5, Pahang, selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di Semerah, Batu Pahat," katanya ketika dihubungi di sini, Isnin.

Abdul Majid berkata, kereta yang dipandu Rohani dihanyutkan 50 meter ke dalam kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Beliau berkat,a sekumpulan penunggang motosikal yang lalu di jalan itu berjaya menyelamatkan anggota keluarga Rohani, termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, tetapi gagal menyelamatkan mangsa.

Katanya, gerakan mencari dan menyelamat berjaya menemui mayat Rohani dua jam kemudian.

Di Kulaijaya pula, Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya, berkata, mangsa yang lemas akibat banjir di Kampung Rahmat dikenali Aw Yoke Lin, 53, berasal dari Taman Pelangi di sini.

"Polis menerima maklumat sekitar 9 malam tadi mengenai kenderaan jenis Hilux yang dipandu oleh Aw yang dilaporkan dihanyutkan air deras dan masuk ke dalam sungai di kampung itu," katanya ketika dihubungi, Isnin.

Zulkefly berkata, lima anggota bomba dan 12 anggota polis yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat kemudian berjaya menarik keluar kenderaan terbabit dari sungai itu pada pukul 11.50 malam.

Beliau berkata, Aw bagaimanapun, didapati sudah meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Lain