suria

Mayat Empat Mangsa Lemas Bot Karan Berhampiran Pulau Tabangka Ditemui

SANDAKAN: Mayat empat mangsa yang lemas selepas bot yang mereka naiki karam berhampiran Pulau Tabangka di sini Jumaat lepas, ditemui, Sabtu.

Mayat dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak itu ditemui terapung di kawasan perairan berhampiran pantai pulau tersebut oleh penduduk kampung pada kira-kira 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marung berkata kedua-dua wanita itu berusia lingkungan 50-an dan seorang daripadanya dikenali sebagai Nikmah Tahil yang memiliki dokumen status Penduduk Tetap Malaysia.

Beliau berkata identiti tiga lagi mangsa termasuk kanak-kanak lelaki dan perempuan, belum dikenal pasti dan mayat mereka dihantar ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk bedah siasat.

Dalam kejadian itu, empat penumpang hilang, manakala sebelas lagi terselamat selepas bot yang mereka naiki karam akibat dipukul ombak kuat, ketika dalam perjalanan dari Pulau Bakungan Besar di perairan Filipina ke bandar ini.

Pulau Bakungan Besar terletak berhampiran sempadan perairan Malaysia-Filipina dan penduduknya membeli barangan keperluan di sini.- BERNAMA

Artikel Lain