suria

Wisma Putra Susun Langkah Pastikan Rakyat Malaysia Selamat

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar kini menyusun langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di Mesir berikutan insiden rusuhan dan tunjuk perasaan di negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata sehingga kini tidak ada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut.

"Mereka dilaporkan selamat," kata kenyataan itu, di sini Sabtu.

Wisma Putra juga berkata Kedutaan Besar Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan di Kaherah sentiasa memantau perkembangan terkini di sana.

Mereka juga sudah menghubungi dan menasihati semua pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap dan bekerja di Mesir termasuk syarikat berkaitan kerajaan dan Petronas, supaya mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya dan mengelakkan dari berada di tempat yang berisiko tinggi tercetusnya rusuhan, kata kenyataan itu.

Sejak Selasa lepas beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan. - BERNAMA

Artikel Lain