suria

TPM Kunjungi Pengundi Ladang Voules Di Labis

LABIS: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu beramah mesra kira-kira setengah jam bersama penduduk Ladang Voules, di sini.

Ketibaan beliau dalam hujan renyai-renyai pada majlis yang diaturkan oleh Parti Makkal Sakthi itu disambut baik oleh penduduk yang rata-ratanya berketurunan India dengan tidak melepaskan peluang bersalaman dengan beliau.

Berucap pada majlis itu, Muhyiddin berkata beliau yakin semua pengundi di kawasan berkenaan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) pada hari pengundian, Ahad.

"Berdasarkan kehadiran yang ramai hari ini, walaupun dalam keadaan hujan, maknanya semangat pengundi untuk menyokong BN adalah tinggi.

"Saya sudah enam, tujuh kali datang ke Tenang dan sudah hampir seluruh kawasan ini saya sudah pergi. Saya yakin pengundi memahami hak mereka untuk mengundi," katanya.

Mengenai masalah bekalan air di ladang itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM500,000 untuk memperbaiki kemudahan bekalan air di kawasan berkenaan.

"Di sini, BN mahu tolong mengatasi masalah air. Memang kita ada rancangan dan kita sudah luluskan peruntukan RM500,000," katanya.

Muhyiddin menegaskan peruntukan yang diluluskan itu bukan disebabkan berlakunya pilihan raya kecil, sebaliknya merupakan tanggungjawab BN yang sentiasa memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan BN juga sentiasa membela nasib pekerja ladang termasuk membincangkan masalah gaji menerusi Majlis Perundingan Gaji yang telah pun diwujudkan.

Pada lawatan itu, beliau turut mengunjungi seorang wanita, P.Saroja Devi, 58, yang menghidap penyakit batu karang.

Ladang Voules yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang mempunyai 384 pengundi dengan 110 daripadanya merupakan pengundi India.- BERNAMA

Artikel Lain