suria

Suami Normala Perlu Jujur Dan Bertanggungjawab - Hishammuddin

LABIS: Maarof Abd Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon PAS pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, yang mengambil cuti sakit semata-mata untuk berkempen bersama isterinya sepatutnya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan jujur dan bertanggungjawab.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Maarof tidak sepatutnya mengambil cuti sakit untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawabnya itu, semata-mata untuk melakukan perkara lain.

"Kalau benar dia sakit memang kita tidak boleh salahkan dia. Jadi dia nak dapatkan cuti sakit untuk hal-hal yang munasabah kita tidak pernah sekat semasa saya memimpin dulu (semasa menjadi Menteri Pelajaran).

"Tapi kalau benar dalam sakit itu, kuat pula berkempen untuk isteri, itu cerita lain. Orang menilai tanggungjawab dan amanah yang dipikul sebagai seorang guru yang sepatutnya berkhidmat dengan jujur," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai tindakan Maarof yang dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini seperti didedahkan menerusi sebuah blog, dan disiarkan dalam beberapa akhbar hari ini.

Blog tersebut mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, dekat sini diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan yang sama.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata buat masa ini tiada sebarang insiden berat dilaporkan berlaku di kawasan DUN Tenang sepanjang tempoh berkempen yang bermula selepas proses penamaan calon pada Sabtu lepas.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan pelbagai isu sensitif dan bersifat perkauman akan terus dimainkan pihak tertentu pada saat-saat akhir tempoh berkempen yang hanya tinggal dua hari lagi, sebelum hari mengundi Ahad ini.

"Perkara-perkara begini kalau kita tidak menjelaskan kepada orang ramai, mungkin mereka boleh terpedaya, tapi kita sudah jangka bahawa serangan terhadap calon kita, guna isu memecahbelahkan kaum, menggunakan agama, itu kita sudah lalui pada pilihna raya kecil pertama dulu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain