suria

SPAD Beroperasi Sepenuhnya Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)akan beroperasi sepenuhnya Isnin ini selaras dengan penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan Darat 2010 pada hari berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Nur Ismal Kamal berkata berkuat kuasa 31 Januari ini, SPAD akan mengambil alih fungsi Jabatan Keretapi, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, serta kuasa Kementerian Pelancongan dalam mengeluarkan lesen kenderaan pelancongan untuk Semenanjung Malaysia.

"Berkuat kuasa serta-merta urusan pelesenan pengangkutan awam darat dikendalikan SPAD. Bagaimanapun semua urusan akan terus dilakukan di lokasi sedia ada sehingga diberitahu kelak," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Sabtu.

Mohamad Nur Ismal berkata juga berkuat kuasa serta-merta, semua pegawai SPAD mempunyai kuasa untuk menahan, mendenda dan menangani sebarang kesalahan seperti penipuan, 'ulat tiket', melanggar syarat lesen, kelakuan tidak senonoh dan sebagainya yang berkaitan dengan pengangkutan awam.

Sebarang aduan katanya, boleh dihantar kepada nombor talian yang sama iaitu 1800 889 600 atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip LPKP Aduan <Aduan>, atau SPAD Aduan <Aduan> dan hantar kepada 15888.- BERNAMA

Artikel Lain