suria

RM12 Juta Diagih Kepada Mangsa Banjir Kedah

ALOR SETAR: Pengagihan wang ihsan fasa kedua kepada lebih 24,000 keluarga mangsa banjir di Kedah yang bermula Sabtu dijangka selesai bulan depan dengan semua mangsa banjir akan menerimanya.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Banjir Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pengagihan ini dilakukan secara berperingkat mulai Sabtu, bermula di daerah Kota Setar dan disusuli daerah Padang Terap serta Kubang Pasu hingga selesai bulan depan.

"Untuk fasa kedua, Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengagihkan wang ihsan sebanyak RM12 juta termasuk kepada mangsa yang tidak mendaftar dan tidak tinggal di pusat pemindahan banjir," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan wang ihsan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Anak Bukit di sini.

Seramai 3,900 mangsa banjir di daerah Kota Setar menerima wang ihsan itu.

Ahmad Bashah, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, juga kesal dengan tindakan sesetengah mangsa banjir yang mempercayai khabar angin kononnya mereka tidak akan mendapat wang ihsan itu.

"Itu semua khabar angin yang sengaja dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kita akan mengagihkan wang ihsan ini kepada semua mangsa secara berperingkat dan tidak akan berlaku sebarang keciciran," katanya.

Melalui fasa pertama dan kedua, kerajaan persekutuan menyalurkan wang ihsan melalui MKN sebanyak RM19 juta untuk diagihkan kepada 39,580 keluarga mangsa banjir di tiga daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap yang terlibat banjir November tahun lalu.

Bagi keluarga yang menerima wang ihsan itu lebih daripada sekali, Ahmad Bashah berharap mereka tampil untuk memulangkan kembali di pejabat Umno negeri secepat mungkin bagi memastikan mangsa yang lain dapat menerima wang itu.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung menasihati kaum Cina yang masih belum menerima wang ihsan itu sebelum perayaan Tahun Baru Cina agar bersabar kerana pengagihan itu dilakukan secara berperingkat.

"Mereka yang tercicir dalam senarai diminta mengisi semula borang khas bantuan banjir itu semula bagi membolehkan mereka menerima wang ihsan itu dengan segera.

"Jika ada keluarga yang telah menerima wang itu melakukan pendaftaran buat kali kedua dengan menamakan anak mereka pula, mereka ini akan dikenakan tindakan kerana cuba melakukan penipuan," kata Chor, yang juga Anggota Parlimen Alor Setar.

Seorang penerima, Teo Tik Seong, 57, berkata dia berterima kasih kepada Barisan Nasional dan kerajaan pusat kerana mengambil berat terhadap kaum Cina yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Lain